SEBAHAGIAN individu ditahan AADK selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana di Debak, Betong. FOTO NORSYAZWANI NASRI
SEBAHAGIAN individu ditahan AADK selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana di Debak, Betong. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) Betong berjaya menahan sembilan individu disyaki positif mengambil dadah dalam Ops Perdana dijalankan di kawasan pelupusan sampah dekat Debak, Betong, semalam.

Ketua AADK Betong, Sapini Jalani berkata, dalam operasi bermula 10 pagi hingga 5 petang, semua sembilan individu ditahan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

“Semua suspek berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta masyarakat atau anggota keluarga membuat laporan kepada AADK atau pihak berkuasa jika terdapat individu atau anak mereka terbabit dengan masalah dadah.

“Dengan kerjasama diberikan masyarakat, masalah ini dapat diatasi dan dibendung sebaiknya.

“Orang awam tidak harus takut melapor kegiatan penagihan dadah di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:57 AM