Nor Amalina Alias


“ALLAH lebih sayangkannya,” itu luahan Nor Asilah Arahim, 29, isteri kepada Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Kampung Jeram Besu, Raub, awal pagi hari ini.

Kemalangan itu turut mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Sajury Abdullah, 63, Sobariah Haron, 54, anak lelaki mereka Uwais AlQurney Abdullah, 6, dan seorang anak saudara mereka Nur Ilham Najwa Rahimi, 20.

Nor Asilah berkata, kali terakhir dia menerima mesej WhatsApp dari suaminya 1 pagi tadi yang memaklumkan dia baru melepasi Lebuhraya Karak.

Menurutnya, suaminya bersama empat lagi ahli keluarga dalam perjalanan pulang ke kampung untuk meraikan majlis perkahwinan adik dan mengambilnya pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai berpantang anak pertama.

Katanya, ketika itu dia berada di rumah mentua bagi membantu persiapan perkahwinan adik iparnya, Dina Amira, 26.

“Bagaimanapun, lima jam kemudian, saya didatangi dengan kehadiran polis yang memaklumkan suami dan empat ahli keluarga lain maut dalam kemalangan. Saya seperti tidak percaya dan terus menangis teresak-esak kerana terlalu terkejut.

“Pakaian sedondon yang akan kami sekeluarga pakai di majlis perkahwinan esok juga sudah siap digosok.

“Malah, kami baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 23 Mac lalu dan sekarang mempunyai anak berusia 62 hari,” katanya ketika ditemui di rumah arwah Faezuan di Jelawat, di Bachok.

Sementara itu, Ibu Faezuan, Nazihah Abdullah, 51 berkata, biarpun keluarganya ditimpa ujian berat kehilangan anak dan saudara namun mereka akan tetap melangsungkan majlis perkahwinan anaknya seperti yang dirancang esok.

“Biarpun mendapat perkhabaran duka itu, majlis akad nikah anak ketiga bersama pasangannya dari Melaka tetap dijalankan.

“Sepatutnya kami rancang selepas Zohor namun dipercepatkan awal pagi untuk buat persediaan urusan pengebumian jenazah Faezuan dan keluarga lain,” katanya.

Dalam pada itu, adik kepada seorang lagi mangsa yang maut Nur Ilham Najwa Rahimi 20, Norazidatul Fitriah, 15, berkata, kali terakhir kakaknya menghubungi ibunya pada jam 10 malam memaklumkan mahu bertolak pulang ke Kelantan.

“Pada jam 6 pagi tadi, umi (ibu) dan ayah terima panggilan berhubung kemalangan itu sebelum mereka terus bergegas ke hospital.

“Kali terakhir saya bertemu kakak pada cuti sambutan Tahun Baharu Cina. Pemergiannya amat dirasai, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Berita berkaitan

Kepulangan abadi lima sekeluarga

‘Keluarga itu pencinta kucing’

Lima maut kereta rempuh bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 7:04 PM