Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MEREKA sepatutnya meraikan hari bahagia seorang ahli keluarga yang melangsungkan perkahwinan di Bachok, Kelantan, hari ini.

Namun, malang buat kelima-limanya apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu, Raub sebelum sempat berkumpul bersama keluarga.

Difahamkan, majlis keluarga itu berjalan seperti biasa namun, penuh kedukaan kerana kehilangan kelima-limanya termasuklah abang kepada si pengantin.

Mereka yang maut adalah Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 26, dan nenek saudaranya Sobariah Haron, 54, serta suami Sobariah, Mohd Sajury Abdullah, 63.

Turut meninggal dunia, anak lelaki pasangan itu Uwais AlQurney Abdullah, 6, dan seorang anak saudara mereka Nur Ilham Najwa Rahimi, 20.

Adik Sobariah, Nurul Aini, 51, berkata, majlis perkahwinan itu membabitkan adik perempuan Muhammad Faezuan yang melangsungkan akad nikah, hari ini dan persandingan, esok.

Malah, pekerja bidang kejuruteraan di Klang, Selangor itu dikatakan mahu meluangkan masa bersama isterinya, Norasilah Arrahim, 28, yang baru selesai pantang selepas melahirkan anak sulung mereka, Mariam Medina yang kini dua bulan.

RAMZAINIAH ditenangkan ahli keluarga selepas kehilangan anaknya Nurul Ilham Najwa. FOTO Aswadi Alias.
RAMZAINIAH ditenangkan ahli keluarga selepas kehilangan anaknya Nurul Ilham Najwa. FOTO Aswadi Alias.

Buah hatinya itu menghabiskan masa berpantang di rumah keluarga di Kampung Jelawat, Bachok.

“Mereka ada maklumkan semalam akan bertolak ke Bachok bersama-sama menaiki sebuah kereta, namun tidak memaklumkan jam berapa akan keluar dari rumah di Klang.

“Ketika itu, arwah kakak (Sobariah) beritahu dalam grup WhatsApp keluarga, dan saya fikir mereka memang pulang untuk kenduri perkahwinan itu.

“Malangnya, kira-kira jam 4 pagi saya dimaklumkan khabar duka oleh polis, memberitahu mereka kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raub, hari ini.

Nurul Aini berkata, mereka sekeluarga segera ke hospital untuk menguruskan jenazah dan keluar dari Kota Bharu pada 8 pagi.

Katanya, kelima-lima mereka rapat antara satu sama lain, malah Nur Ilham Najwa kerap ke rumah Sobariah yang dipanggil mak andak.

“Sebelum ini saya dan arwah kakak ada berbual mengenai panggilan haji memandangkan Sobariah terpilih untuk menunaikan ibadat itu, hujung tahun ini.

“Dia sangat gembira dengan panggilan itu. Tidak sangka pula kejadian ini berlaku dan kami sangat sedih mengenangkannya,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Ilham Najwa, Ramzainiah Haron, 48, sukar menahan sebak apabila menceritakan mengenai anaknya itu yang dikatakan rapat dengan semua ibu saudaranya.

“Jika balik kampung, dia rapat dengan semua ibu saudaranya. Mereka semua sayangkan dia,” katanya yang terpaksa ditenangkan ahli keluarga.

Nur Ilham Najwa adalah penuntut semester dua Diploma Pengajian al-Quran dan Sunnah di Kolej Universiti Islam Antrabangsa Selangor (KUIS) di Bangi, Selangor.

Kelima-lima mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jelawat dan Kampung Mak Mayong, Bachok, malam ini.

Berita berkaitan

Lima maut kereta rempuh bas ekspres

‘Keluarga itu pencinta kucing’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 4:24 PM