KUCHING 27 MAC 2019. Lucy Gibson, 13 bersama ayahnya menunjukkan surat  Kelulusan Kewarganegaraan selepas selesai Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
KUCHING 27 MAC 2019. Lucy Gibson, 13 bersama ayahnya menunjukkan surat Kelulusan Kewarganegaraan selepas selesai Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Garret Dawum


PENANTIAN selama 12 tahun seorang remaja perempuan untuk mendapatkan status warganegara Malaysia berakhir apabila dia diberi surat kelulusan permohonan taraf itu, hari ini.

Lucy Gibson Richi, 13, antara 23 penerima di Sarawak yang diberikan kelulusan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan taraf kerakyatan Malaysia.

Dia yang berasal dari Kampung Selampit, Lundu, berkata, dengan adanya kelulusan itu, segala urusan persekolahan, termasuk rawatan di klinik atau hospital kerajaan akan menjadi mudah.

“Syukur kerana kerajaan prihatin dengan nasib saya dan meluluskan permohonan yang dibuat bapa saya.

“Biarpun tinggal di Sarawak, banyak kemudahan yang tidak dapat saya nikmati seperti rawatan percuma di hospital atau klinik kerajaan kerana bukan warganegara.

“Bapa saya (Richi Lanim) perlu menguruskan banyak perkara jika ingin mendapatkan semua itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di Wisma Wanita, Petra Jaya, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Lucy Gibson berkata, dia hanya mula bersekolah sejak dua tahun lalu dan kini berada di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Snibong, Lundu.

“Memang saya tercicir dari segi pelajaran tetapi bapa banyak memberi semangat serta dorongan untuk saya meneruskan persekolahan.

“Saya juga mahu berjaya sama seperti rakan lain yang ada cita-cita serta impian,” katanya yang juga anak tunggal.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Roland Bong Kai Chun berkata, kelulusan itu adalah hadiah hari jadi bermakna untuknya tahun ini.

“Saya akan menyambut hari jadi yang ke-13 pada 21 April ini dan ia hadiah yang saya dapat dulu sebelum sambutan hari kelahiran.

“Tidak dinafikan, saya gembira dan bersyukur kerana akan dapat menikmati kemudahan diberikan kerajaan,” katanya yang berasal dari Kampung Musi Bau.

Untuk rekod, segelintir penduduk di Sarawak menghadapi masalah ketiadaan taraf warganegara, terutama membabitkan kanak-kanak disebabkan pelbagai faktor, antaranya perkahwinan ibu atau bapa membabitkan seorang daripadanya warga asing.

Masalah ini juga timbul kerana ibu bapa, terutama yang menetap di pedalaman negeri itu tidak mendaftarkan kelahiran dan dokumen pengenalan anak-anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:37 PM