FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shamsul Munir Safini


MAYAT wanita berbaju-T dan berkain batik ditemui tersangkut pada jaring sangkar ikan di Batu Maung dekat Bayan Lepas, jam 11.40 pagi hari ini.

Mayat wanita tanpa identiti itu ditemui pekerja sangkar ikan berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat wanita itu terapung di kawasan sangkar sebelum membawanya naik melalui jeti di kawasan limbungan Batu Maung.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

“Polis masih menyemak laporan polis berkaitan orang hilang bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:46 PM