BAHARUDIN  (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu dan daun ketum yang dirampas.
BAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu dan daun ketum yang dirampas.
Rosli Ilham


HASRAT dua sahabat ‘mencipta rekod’ menjadi pengedar pertama memasarkan dadah jenis syabu di daerah itu, tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis merampas tiga bungkus plastik putih mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dianggarkan seberat 153 gram dan bernilai sekitar RM16,000.

“Sepasukan lima anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik diketuai Inspektor Muhammad Haziq Fathe’li menyerbu rumah terbabit hasil maklumat awam.

“Hasil siasatan, suspek mengaku mengambil dadah terbabit dari Pahang dan hasil ujian air kencing kedua-dua mereka juga positif methamphetamin,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, semalam.

Baharudin berkata, dadah jenis syabu sukar diperoleh di Dungun dan pihaknya percaya kedua-dua suspek baru mencuba membawa masuk dadah terbabit untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:30 AM