Baharudin (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
Baharudin (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Dua lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dan dua lagi senjata yang masih dalam proses pembikinan dalam serbuan di bengkel membaiki kereta di Kampung Alur Tembesu, Rabu lalu.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 20 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, jam 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika pemeriksaan pihaknya menemukan selaras senapang angin yang lengkap dan dua laras lagi hampir siap.

Menurutnya, polis turut merampas 11 butir peluru hidup dipercayai akan digunakan sebagai peluru senapang angin berkenaan.

"Suspek berusia 37 tahun yang juga pemilik bengkel itu mengaku membeli senapang angin yang lengkap itu dari seorang lelaki pada tahun 2019 dengan harga RM300 dan digunakan sebagai rujukan bagi menghasilkan dua laras senapang angin yang lain.

"Kedua-dua suspek mengaku senapang angin itu digunakan untuk aktiviti memburu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, petang ini.

Baharudin berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas syabu seberat 0.70 gram serta pil kuda seberat 0.8 gram dan wang tunai RM1,000.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil saringan ujian air kencing mendapati mereka berdua positif mthamphetamine. Suspek direman selama empat hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikuts Sekyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 5:28 PM