ASAP tebal susulan kebakaran hutan di La Palma di Kepulauan Canary, Sepanyol. FOTO AFP
ASAP tebal susulan kebakaran hutan di La Palma di Kepulauan Canary, Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Madrid: Lebih 2,500 orang dipindahkan dari La Palma di Kepulauan Canary, pulau milik Sepanyol, di mana kebakaran hutan sudah memusnahkan kawasan seluas 4,500 hektar, kata pegawai pada Sabtu.

Kira-kira 300 anggota bomba di lapangan sedang berusaha untuk mengawal kebakaran dengan operasi pemadaman itu disokong oleh pesawat pemadam kebakaran, tambah pegawai itu.

"Api merebak dengan cepat," kata Fernando Clavijo, presiden kerajaan wilayah Kepulauan Canary.

Dia menyalahkan angin, keadaan iklim serta gelombang panas menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.

"Ia adalah api yang mengumpulkan kekuatannya dalam masa yang sangat singkat," kata Menteri Pelancongan Hector Gomez kepada pemberita.

Ketua Majlis La Palma, Sergio Rodriguez dan pihak berkuasa utama pulau itu, menyeru orang ramai supaya bekerjasama dalam operasi pemindahan bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan berfungsi dengan lebih mudah.

Kebakaran berlaku pada sebelah pagi di daerah Puntagorda sebelum merebak dengan cepat, menurut kenyataan pegawai tempatan.

Datuk Bandar Tijarafe, Marcos Lorenzo, memberitahu televisyen TVE bahawa tidak semua penduduk bandar dipindahkan.

Menurut data Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), Sepanyol, mengalami hampir 500 kebakaran hutan pada 2022, yang memusnahkan lebih 300,000 hektar, angka terburuk di Eropah.

Setakat tahun ini, 66,000 hektar lagi berlaku kebakaran hutan, menurut data terbaru EFFIS.

Keadaan ini lebih membimbangkan di negara yang sudah dilanda teruk kesan perubahan iklim, dengan siri gelombang panas ditambah hujan yang semakin berkurangan.

Agensi meteorologi negara juga memberitahu suhu mencatatkan rekod tertinggi semasa cuaca panas luar biasa di tanah besar Sepanyol.

Kepulauan Canary adalah pulau milik Sepanyol terletak di luar pantai barat laut Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 11:02 AM