Rashidilhadi (kiri) menunjukkan gamat yang dirampas daripada bot Vietnam semalam. FOTO Imran Makhzan
Rashidilhadi (kiri) menunjukkan gamat yang dirampas daripada bot Vietnam semalam. FOTO Imran Makhzan
Fitri Nizam


LIMA nelayan Vietnam bukan saja berani ‘merompak’ hasil gamat yang bermutu tinggi di perairan negara malah turut merosakkan habitat marin apabila dikesan menggunakan alat penangguk gamat.

Kegiatan mencuri gamat ditumpaskan buat kali ketiga dalam tempoh tiga bulan yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah bot kira-kira 76 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kehadiran bot dinaiki lima warga asing berusia 23 hingga 49 tahun itu dikesan ketika rondaan rutin dijalankan di sekitar perairan negeri itu jam 4.10 petang semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan mendapati, nelayan itu masuk ke negara ini khusus untuk menangkap gamat berdasarkan penemuan hidupan laut itu di dalam bot terbabit.

“Sebanyak 20 kilogram gamat ditemui dalam bot itu dipercayai untuk dijual semula ke negara asal mereka dengan nilaian pasaran hampir RM200 sekilogram.

“Kita juga menemui alatan penangguk gamat yang digunakan suspek.

“Penggunaan alatan itu bukan saja merosakkan landskap marin malah turut memusnahkan batu karang di perairan negara,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kelima-lima warga Vietnam terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini serta tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya.

Terdahulu, Rashidilhadi berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot asing dinaiki 19 warga Vietnam berusia 15 hingga 53 tahun ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara kira-kira 80 batu nautika dari muara Kuala Terengganu jam 3.30 petang semalam.

“Sebanyak 16 tan anak ikan dan sembilan tan ikan campur ditemui berada dalam bot berkenaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1 juta.

“Kita jangka nelayan negara jiran ini akan lebih aktif menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut berikutan berakhirnya musim tengkujuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:24 PM