BOT nelayan Vietnam yang ditahan menangkap gamat di perairan Terengganu. FOTO Rosli Ilham
BOT nelayan Vietnam yang ditahan menangkap gamat di perairan Terengganu. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam ketika sedang menangkap gamat di perairan Terengganu petang semalam.

Pengarah Zon APMM Kemaman Kepten Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot terbabit ditahan di jarak 42 batu nautika dari timur laut Kuala Kemaman pada 6.25 petang.

Menurutnya, bot berkenaan ditahan ketika kapal KM Satria yang melakukan rondaan terserempak dengannya ketika sedang menangkap gamat dengan menggunakan pengaut besi.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan kemudiannya menemui kira-kira 100 kilogram gamat segar.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lima awak termasuk tekong bot terbabit yang berusia di antara 36 hingga 58 tahun itu mendapatinya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak mempunyai kebenaran melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini," katanya ketika mengadakan sidang media di pejabat APMM Kemaman hari ini.

Menurutnya, kesemua hasil rampasan termasuk bot, 1,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM800,000," katanya.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 8:01 PM