RASHIDILHADI (kiri) menunjukkan sebahagian sotong dirampas dari dua bot nelayan asing selepas menahan 13 nelayan dan awal-awak di berhampiran Kuala Kemaman, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
RASHIDILHADI (kiri) menunjukkan sebahagian sotong dirampas dari dua bot nelayan asing selepas menahan 13 nelayan dan awal-awak di berhampiran Kuala Kemaman, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 13 nelayan asing termasuk berusia 14 tahun yang dikesan menceroboh perairan negara apabila menangkap ikan di 70 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai, semalam.

Dalam serbuan 8.30 malam itu, dua bot nelayan asing dikesan masuk ke perairan negara sebelum melakukan aktiviti menangkap ikan dan mencandat sotong di sekitar lokasi terbabit.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata pihaknya menahan kedua-dua bot dinaiki 13 nelayan termasuk tekong itu pada 8.30 malam hingga 9.15 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui pelbagai alatan menangkap ikan dan mencandat sotong selain hasil tangkapan sotong hampir 50 kilogram.

“Pemeriksaan terhadap semua nelayan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara secara sah.

“Hasil rampasan dilakukan terhadap kedua-dua bot berkenaan dianggarkan bernilai RM600,000,” katanya ketika ditemui di Chukai, hari ini.

Beliau berkata, semua nelayan terbabit ditahan sebelum dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta bagi tekong dan RM100,000 bagi setiap awak-awak jika sabit kesalahan.

Menurutnya, sotong terdapat di perairan Terengganu adalah hasil tangkapan gred A yang menjadi tumpuan nelayan Vietnam kerana mampu peroleh pulangan lumayan.

“Mereka akan mendapat hasil lumayan kerana harga jualan sotong di negara luar seperti China dan Taiwan mampu mencecah RM100 hingga RM300 sekilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 10:15 PM