Kesan pencemaran di tali air Sungai Tawakal ke Sungai Pandan yang didakwa berlaku pencemaran dari sisa bahan kimia berdekatan Kampung Baru Sri Aman, Kempas di Johor Bahru. Foto Omar Ahmad
Kesan pencemaran di tali air Sungai Tawakal ke Sungai Pandan yang didakwa berlaku pencemaran dari sisa bahan kimia berdekatan Kampung Baru Sri Aman, Kempas di Johor Bahru. Foto Omar Ahmad
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Insiden pembuangan sisa buangan bahan kimia terjadual di Sungai Tawakal, Kampung Baru Sri Aman, Seelong di Kempas di sini, tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan siasatan menyeluruh, berikutan ia membabitkan kesan langsung kepada kesihatan penduduk.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Saintifik Siasatan Sungai Kim Kim Prof Dr Abdul Rahim Mohd Yusoff berkata, insiden di Sungai Tawakal itu dilihat berbeza dengan pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim yang berlaku pada 2019.

Dr Abdul Rahim yang juga bekas Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, langkah lebih bersepadu perlu diambil bagi mengelakkan insiden pembuangan sisa kimia terus berlaku sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini terhadap penduduk.

"Saya nampak insiden pembuangan kimia di Sungai Tawakal, Kempas ini sedikit berbeza dari insiden pembuangan toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

"Ia berikutan saksi kejadian yang dapat melihat secara jelas wap putih keluar dari permukaan sungai yang menandakan berlaku reaksi kimia namun tidak banyak atau tidak jelas kesan minyak hitam yang ditemui.

"Insiden di Sungai Kim Kim pula dapat dilihat jelas kelodak minyak hitam yang banyak, kemudiannya ia disahkan sebagai pirolisis buangan sisa toksik daripada minyak yang berwarna hitam.

"Wap putih yang keluar dari Sungai Tawakal itu menunjukkan ada buangan sisa kimia berlaku dan ia bertindak balas dengan air sungai.

"Bagaimanapun, ia perlu diambil serius, setakat ini penduduk hanya pengsan, jika ada berlaku kesan lebih kritikal, ia pasti mengulangi tragedi pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim," katanya ketika dihubungi.

Rabu lalu, media melaporkan empat penduduk Kampung Baru Sri Aman pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian pada 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah sehari selepas insiden berkenaan.

Ditanya sama ada kesan sisa kimia Sungai Tawakal berbahaya kepada kesihatan penduduk, Dr Abdul Rahim berkata, ia tidak boleh dipandang ringan berikutan terdapat penduduk yang pengsan akibat terhidu gas kimia.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak harus menunggu hasil keputusan analisis Jabatan Kimia bagi mendapatkan kesimpulan lebih tepat berhubungan tiga sisa kimia yang dikesan di udara Kampung Baru Sri Aman.

Menurutnya, penduduk bertindak amat pantas dengan menghubungi pihak berkuasa selain membawa keluarga keluar dari kawasan terjejas dengan segera.

"Ia menunjukkan penduduk sudah mempunyai kesedaran tinggi dan banyak belajar dari tragedi Sungai Kim Kim.

"Insiden di Kampung Baru Sri Aman, mangsa kejadian tidak dapat menjelaskan apa yang dihidu mereka namun ia sangat mencucuk dalam hidung dan kerongkong selain sukarkan pernafasan.

"Ia berbeza dengan Sungai Kim Kim apabila mangsa dapat menjelaskan bau gas yang dihidu seperti minyak hitam yang bocor daripada kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 10:29 AM