ANGGOTA bomba, guru serta pegawai perubatan membawa murid SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang yang mengalami tanda sesak nafas seperti simptom keracunan terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim ke hospital untuk mendapatkan rawatan. FOTO Idros Rahmat.
ANGGOTA bomba, guru serta pegawai perubatan membawa murid SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang yang mengalami tanda sesak nafas seperti simptom keracunan terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim ke hospital untuk mendapatkan rawatan. FOTO Idros Rahmat.
Ibrahim Isa


SEJAK kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, berlaku Khamis lalu, ramai individu menularkan beberapa kenyataan bercanggah hingga boleh menyebabkan panik.

Terbaru, petang semalam ada yang membuat kecoh di laman sembang WhatsApp dan Facebook (FB) berkaitan mangsa dilaporkan meninggal dunia, selain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan ‘Red Alert’.

Sambil menafikan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, tiada maklumat diterima berhubung kes membabitkan kematian mangsa.

“Saya tidak dimaklumkan tentang ada kematian, rujuk pada kenyataan media saya untuk makluman terkini.

“Pengisytiharan ‘Red Alert’ tidak benar dan kenyataan itu salah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dalam satu kenyataan menafikan penularan kenyataan melalui WhatsApp mengenai Pengisytiharan Red Alert oleh Hospital Sultan Ismail (HSI) seperti ditularkan pada 12 Mac 2019 (Selasa).

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin menegaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang kematian rentetan kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru.

“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu boleh menimbulkan kerisauan.

“Kami menggesa masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib,” katanya.

Menurutnya, maklumat terkini akan disiarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari masa ke semasa.

Sementara itu, Polis Johor memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi menahan dalang yang membuang sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan).

Pada masa sama, katanya, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 284 kanun sama kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nurul Bazilah Jaafar dengan menghubungi balai polis berhampiran.

“Selain itu, saksi boleh hubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di nombor 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di nombor 07-3864222,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 1:15 AM