Zaidy kiri) bersama Khairol Anuar di ibu pejabat SPRM. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zaidy kiri) bersama Khairol Anuar di ibu pejabat SPRM. FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

PENGERUSI Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Dr Rameli Musa hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diberi UMNO.

Rameli yang turut dikaitkan dengan isu RM1.4 juta dalam penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown tiba pada 9.55 pagi, menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Turut hadir memberi keterangan ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Selayang, Dr Zaidy Abdul Talib dan petugas di ibu pejabat PAS Mohd Khoirul Anwar Mat Zuki.

Mereka dilihat memasuki bangunan suruhanjaya itu lima minit kemudian.

Semalam, media melaporkan tiga individu lagi termasuk seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kemasukan dana RM90 juta berkenaan.

Siasatan kes berkenaan menyaksikan beberapa individu dipanggil SPRM, antaranya Musyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 11:18 AM