LOKASI kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


HUTAN seluas lapan hektar di puncak bukit berdekatan Perkampungan Orang Asli Pos Legap, Sungai Siput, terbakar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.24 pagi sebelum pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran membabitkan kawasan hutan di puncak bukit berdekatan Perkampungan Orang Asli Pos Legap dianggarkan seluas lapan hektar.

“Anggaran ketinggian kawasan kebakaran adalah 457 meter dan bomba sedang memohon pesawat unit udara untuk memantau jumlah keluasan kebakaran dari atas secara keseluruhan.

“Selain dari kekuatan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, MUSTeam (Multi Skill Team) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turut digerakkan dalam operasi ini,” katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut mengenai keadaan di kawasan itu akan dimaklumkan kemudian dan operasi pemadaman sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 11:13 AM