Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Matang. FOTO Ihsan PDRM
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Matang. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum


EMPAT penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang disyaki pengedar dadah di sekitar Matang, Kuching ditahan bersama ganja 264.41 gram di Kampung Sungai Cina, Matang, Isnin lalu.

Ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor 4 petang itu, keempat-empat lelaki berusia 21 hingga 24 tahun berada di dapur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, tangkapan yang dibuat adalah hasil maklumat awam dan ujian saringan air kencing juga mendapati penuntut terbabit positif dadah.

“Hasil pemeriksaan menemui 11 paket plastik lut sinar dan ketulan mampat ganja dalam botol, bekas tin dan kotak dengan berat anggaran keseluruhannya 264.41 gram.

“Selain itu, pengisar ganja, penimbang digital dan anak pokok ganja setinggi 10 sentimeter turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, rampasan dianggarkan RM10,576.

“Siasatan awal mendapati suspek mengedar dadah sejak awal tahun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Katanya, keempat-empat suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau direman tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 4:21 PM