Papagomo dibebaskan dibebaskan dengan jaminan polis (gambar fail NSTP). FOTO NSTP
Papagomo dibebaskan dibebaskan dengan jaminan polis (gambar fail NSTP). FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Papagomo dibebaskan sebaik selesai proses siasatan berhubung insiden serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Bagi tangkapan Seksyen 147/323 kanun Keseksaan terhadap Papagomo, dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai proses siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Papagomo, 36, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur, Ahad lalu bagi membantu siasatan kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, Ahli Parlimen Muar terbabit mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Video insiden provokasi berdurasi 22 saat itu turut tular di media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq yang dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 19 laporan polis diterima sejak hari penamaan calon hingga hari ini berhubung pilihan raya kecil berkenaan.

“Daripada 19 laporan itu, tiga kertas siasatan dibuka dengan dua daripadanya membabitkan insiden serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, manakala satu lagi laporan berkaitan aktiviti ceramah tanpa permit di tapak pasar malam di Taman Pelangi, Semenyih, Ahad lalu, yang disiasat mengikut Seksyen 24 B (3) Akta Pilihan Raya 1954.

“Dalam tempoh sama juga, sebanyak 51 permit dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membabitkan bagi Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Daripada jumlah itu, 15 permit bagi BN, PH (32) dan PSM (4), manakala calon bebas belum mengemukakan sebarang permohonan permit,” katanya.

Beliau menasihatkan parti yang terbabit mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang pilihan raya kecil berkenaan.

“Calon bertanding diminta memohon permit bagi mengadakan ceramah atau aktiviti politik sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:35 PM