Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

"Keputusan dibuat selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

"Saya dengan ini memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap semua tuduhan," katanya.

Beliau memberi tiga pilihan terhadap Ahmad Zahid untuk membela diri iaitu memberi keterangan secara bersumpah, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

AHMAD Zahid ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
AHMAD Zahid ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.

Terdahulu, Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata hujahan pembelaan bahawa Ahmad Zahid perlu diberi imuniti daripada didakwa kerana mendedahkan semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi tidak mempunyai merit.

Mahkamah juga menetapkan 39 hari bermula April ini untuk prosiding membela diri.

Tarikh yang ditetapkan ialah 26 April hingga 28 April, 23 May hingga 26 May, 27 Jun hingga 30 Jun, 4 Julai hingga 7 Julai, 22 Ogos hingga 23 Ogos, 29 Ogos hingga 30 Ogos, 19 September hingga 22 September, 26 September hingga 29 September, 17 Oktober hingga 20 Oktober, 31 Oktober, 1 November hingga 3 November dan 7 November hingga 10 November.

Sementara itu Hisyam turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya dijangka memanggil lebih 20 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pertama pembelaan yang akan memberi keterangan adalah Zahid sendiri.

Zahid, 69, turut diwakili peguam Hamidi Mohd Noh manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 19 Mac tahun lalu dan pada 6 Disember tahun yang sama, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.

Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta SPRM 2009) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini.

Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, menjadikan keseluruhan 87 pertuduhan terhadap beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:41 AM