JALAN TAR akan ditutup dari Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu untuk semua jenis kenderaan kecuali bas bermula 13 Mac ini. FOTO arkib NSTP
JALAN TAR akan ditutup dari Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu untuk semua jenis kenderaan kecuali bas bermula 13 Mac ini. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


PENUTUPAN Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula dari Jalan Esfahan berhampiran pusat beli-belah Sogo hingga ke Jalan Melayu kepada semua kenderaan persendirian kecuali bas awam bermula 15 Mac ini hanyalah tempoh percubaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tempoh percubaan yang dilaksanakan selama sebulan itu akan melihat segala kemungkinan atau kelemahan yang terdapat semasa penutupan jalan itu.

Katanya, penutupan jalan itu secara tidak langsung akan memberi gambaran sebenar kepada pihaknya dan peniaga, sekiranya ia mendapat reaksi yang positif barulah hal berkenaan akan dilaksanakan.

“Kita akan adakan perjumpaan dengan peniaga pada Selasa ini bagi mendapatkan jalan penyelesaian. Tapi bagi pihak kementerian kita lakukan ini untuk beri satu perubahan untuk mencapai tahap bandaraya rendah karbon seperti yang dinyatakan sebelum ini.

“Sekiranya selepas penutupan jalan itu kita dapati tidak menimbulkan masalah, barulah kita tempatkan bazar Ramadan kerana sekarang ini terlalu banyak reaksi, (berkaitan penutupan jalan) ada kumpulan kata akan beri masalah, ada pula yang sebaliknya.

“Ini cuma tempoh percubaan, kalau tiada masalah akan diteruskan tapi jika kita lihat banyak masalah timbul, kita akan hentikan dan berkemungkinan akan lakukan pada waktu tertentu seperti hari minggu saja,” katanya kepada media selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Kompleks Futsal Presint 18, di Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, lebih 300 pemilik dan pemborong premis perniagaan di kawasan berkenaan sepakat untuk menutup kedai mereka semasa hari pelaksanaannya bermula 15 Mac nanti.

Tindakan untuk menutup operasi perniagaan itu dilakukan sebagai tanda protes peniaga terhadap keputusan yang disifatkan dibuat membelakangkan kepentingan mereka.

Terdapat juga beberapa peniaga meluahkan rasa tidak puas hati namun tidak berniat menentang keputusan yang dibuat oleh kerajaan, sebaliknya mahu keputusan yang dibuat memberi situasi menang-menang.

Terdahulu, pada 12 Februari lalu, Khalid mengumumkan penutupan jalan itu dilakukan berikutan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai `Pedestarian Mall’.

DBKL turut akan memindahkan peniaga bazar Ramadan di kawasan sedia ada ke jalan berkenaan yang dijangka menyediakan kira-kira 250 petak ruang perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 4:08 PM