KHALID menyampaikan sebuah beg 'Anti-Litter' kepada penunggang motosikal sambil disaksikan Mohd Zain (kanan). FOTO Aizuddin Saad
KHALID menyampaikan sebuah beg 'Anti-Litter' kepada penunggang motosikal sambil disaksikan Mohd Zain (kanan). FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan menamatkan sementara bazar Ramadan di kawasan utama ibu negara untuk menjalankan operasi pemutihan khususnya membabitkan peniaga warga asing.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya juga akan mendapatkan semula statistik dan data peniaga tempatan sebagai langkah memastikan hanya warga negara sahaja layak berniaga di bazar itu.

Mengulas lanjut, katanya, peniaga warga tempatan yang sah akan diberikan sokongan dan bantuan untuk meneruskan perniagaan mereka secara berlesen.

“Baru-baru ini pun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyiarkan beberapa gambar operasi terhadap gerai warga asing yang mereka sita dan rampas barang perniagaannya.

“Pada masa sama tempat utama seperti di Jalan Masjid India dan sebagainya, kita akan tamatkan (sementara) perniagaan bazar Ramadan di sana sebagai satu daripada proses pemutihan.

“Kita akan dapatkan statistik dan data (terkini) untuk mendapatkan senarai peniaga warga tempatan sah yang akan kita berikan sokongan dan bantuan untuk meneruskan perniagaan mereka secara berlesen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan kempen ‘Anti-Litter - Give Your Litter A Lift Home’ anjuran Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) di Stesen Minyak PETRONAS Solaris Putra di Seri Kembangan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan.

Khalid mengulas isu peniaga asing menguasai sesetengah lokasi di ibu negara dan peranan kementeriannya untuk mengubah identiti itu khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, masalah lambakan peniaga warga asing khususnya di Kuala Lumpur perlu dikaji dari beberapa sudut serta memerlukan penyelesaian bersama membabitkan kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Hakikatnya, tiada warga asing yang mendapat lesen perniagaan. Semua lesen perniagaan yang dimohon kepada pihak DBKL dan yang dikeluarkan oleh DBKL adalah hanya untuk warga tempatan.

“Masalahnya ialah apabila lesen perniagaan warga tempatan digunakan oleh warga asing. Sekiranya didapati ada berlaku, maka kita akan ambil tindakan tegas dan tarik balik lesen.

“Ada juga lesen perniagaan warga tempatan tetapi pekerjanya warga asing. Dalam kes ini kita akan menguatkuasakan peraturan yang mana kalau ada pekerja warga asing sekali pun tetapi tuan punya warga tempatan mesti ada bersama, sama ada dia atau wakilnya yang didaftarkan dengan DBKL,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat warga asing yang membuka gerai atau perniagaan secara haram tanpa lesen dan sekiranya berlaku memang tindakan tegas akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 5:21 PM