SEORANG penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir, Hulu Terengganu, hari ini. FOTO ihsan polis.
SEORANG penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir, Hulu Terengganu, hari ini. FOTO ihsan polis.
Rosli Ilham


SEORANG penunggang motosikal maut manakala penunggang motosikal lain parah selepas kedua-dua kenderaan itu bertembung di Kilometer 2, Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir, dekat Kampung Jak, Hulu Terengganu, hari ini.

Dalam kemalangan 6.45 petang itu, Mohd Amran Ghazali, 44, yang menunggang motosikal Suzuki Sport maut di tempat kejadian.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa menunggang bersendirian dari rumahnya di Kampung Pengkalan Jak dalam perjalanan ke Kampung Kejir, Hulu Terengganu.

Setibanya di tempat kejadian, sebuah motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Muhammad Rusyaidi Rosli, 16, tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Rusyaidi yang berasal dari Jalan Dato Amar, Ajil parah di bahagian kepala dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Pertembungan kedua-dua motosikal itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

"Manakala jenazah seorang lagi mangsa dibawa ke Bilik Forensik hospital sama untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:22 PM