Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 12 wanita Vietnam disyaki terbabit aktiviti persundalan di sebuah rumah urut sekitar Pura Kenchana, Sri Gading, Batu Pahat ditahan, 12 tengah malam tadi.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis dan pelindung wanita terbabit turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, semua wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun, manakala lelaki tempatan itu berusia 58 tahun.

“Lelaki itu disyaki berperanan sebagai penjaga premis serta melindungi semua pekerja asing itu.

“Pada masa sama, dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan turut ditahan ketika berada dalam premis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhan berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas beberapa kondom dan cecair pelincir yang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu, selain sejumlah wang tunai.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 373 kanun sama.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Sek 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tiada dokumen perjalanan sah, bekerja dan menggaji tanpa permit.

“Perintah tahan reman diterima daripada Mahkamah Majistret Batu Pahat yang membolehkan mereka direman empat hari hingga Ahad,” katanya.

Dalam pada itu, polis sentiasa optimis dalam membasmi aktiviti persundalan di Batu Pahat dan komited memastikan daerah itu ‘bersih’.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah di talian 07-4343999 atau mana-mana balai polis berhampiran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 4:33 PM