Laporan portal Harian Metro mengenai kekejaman suami membunuh isterinya akibat cemburu.
Laporan portal Harian Metro mengenai kekejaman suami membunuh isterinya akibat cemburu.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SUAMI yang memukul isterinya sehingga mati di sebuah premis perniagaan di Taman Banang, Batu Pahat, direman tujuh hari, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa minggu depan.

“Suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 19 Februari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian semalam, lelaki itu memukul isterinya yang juga warga Myanmar pada kepala dan badan sehingga mati.

Selain penahanan suspek, turut ditahan reman adalah lelaki tempatan yang juga penyelia kedai tempat pasangan suami isteri itu bekerja, bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan, semalam.

Lelaki berusia 48 tahun itu adalah individu yang membantu suspek membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, selepas insiden terbabit.

Perintah tahanan reman dikeluarkan terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.

Harian Metro melaporkan, dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, mangsa berusia 25 tahun dihantar ke hospital dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami kecederaan pada tubuh dan kepala sebelum dilaporkan maut ketika mendapatkan rawatan.

Mangsa mengalami kecederaan fizikal dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku akibat perasaan cemburu buta suspek ke atas isterinya yang dikatakan keluar bersama seorang lelaki sebelum mereka terserempak.

Mangsa lebam hampir keseluruhan badannya, termasuk pada kepala hingga menyebabkannya tidak bermaya.

Berita berkaitan

Cemburu buta, bantai isteri sampai mati

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:26 PM