SERAMAI 16 wanita Vietnam yang dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke di Jalan Kuning, Bukit Pasir.
SERAMAI 16 wanita Vietnam yang dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke di Jalan Kuning, Bukit Pasir.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Seramai 16 wanita Vietnam yang dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di Jalan Kuning, Bukit Pasir di sini, ditahan polis dalam Op Noda kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang penjaga premis yang juga rakyat tempatan berusia 39 tahun kerana gagal mengemukakan lesen hiburan yang sah.

Menurutnya, semua warga asing berusia 22 hingga 25 tahun itu didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998, Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 55(b) dan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan di sebuah premis karaoke.

“Ketika serbuan terdapat 22 pelanggan dan 16 wanita Vietnam dan lelaki Bangladesh disyaki bekerja sebagai pelayan di premis terbabit tanpa permit yang sah.

“Pihak polis turut merampas dua unit pembesar suara, mikrofon dan televisyen.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 10:54 AM