BAZAR Ramadan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
BAZAR Ramadan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Mohamad Hussin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka permohonan dan pembayaran lesen Bazar Ramadan 2019 secara dalam talian, mulai esok.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, permohonan boleh dilakukan melalui laman web https://elesen.dbkl.gov.my/ebazar hingga tarikh tutup, 14 Mac depan.

Beliau berkata, proses semakan pemohon oleh DBKL yang layak untuk ke proses pengundian akan dilaksanakan mulai 23 Mac.

“Manakala proses pengundian pula akan diadakan pada 27 hingga 30 Mac.

“Pemohon boleh membuat semakan status permohonan mereka mulai 8 April depan secara dalam talian.

“Sebanyak 4,330 petak membabitkan 57 lokasi bazar di sekitar ibu kota ditawarkan kepada peniaga,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran portal e-bazar di Menara DBKL, Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hisham berkata, Bazar Ramadan 2019 akan diuruskan sendiri DBKL dan tiada lagi sebarang penganjuran oleh pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu.

“Setiap permohonan bazar adalah secara individu. Terdapat dua kategori bazar ramadan iaitu kategori A di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) membabitkan 288 tapak.

“Manakala kategori B pula membabitkan 980 petak di sekitar ibu kota.

“Kadar bayaran keseluruhan bagi kategori A ialah sebanyak RM3,900 termasuk cagaran RM1,000 manakala kategori B sebanyak RM817 termasuk cagaran RM500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 1:41 PM