GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SEMUA peniaga yang sudah menjelaskan bayaran Permit Bazar Ramadan 2020 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh membuat tuntutan bayaran balik bermula hari ini sehingga 5 Mei depan.

MBSA menerusi satu notis memaklumkan pemohon boleh membuat tuntutan bayaran balik permit penuh atau sebahagian.

“Permohonan boleh dibuat dengan melayari https://bazar.mbsa.gov.my/login dan permohonan yang lengkap akan diproses manakala tuntutan bayaran semula akan dikreditkan terus ke akaun bank pemohon.

“Semua peniaga yang sudah menjelaskan bayaran Permit Bazar Ramadan 2020 layak membuat permohonan mulai hari ini sehingga 5 Mei,” jelas kenyataan itu.

Menurut notis itu lagi, untuk bayaran balik permit sepenuhnya, pemohon perlu mengisi borang tuntutan dan memuat naik penyata bank atas nama yang sama.

Katanya, untuk bayaran balik permit sebahagian (kecuali kanopi), pemohon perlu memuat naik penyata bank atas nama yang sama serta lesen atau permit penjaja yang sah tahun 2020.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Perlesenan MBSA di talian 03-55105133sambungan 1699/1486/1761 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Difahamkan, seramai 1,745 peniaga mendapat permit penjaja bazar Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran MBSA pada tahun ini.

Pada 1 April lalu, kerajaan Selangor membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan di negeri itu susulan penularan wabak Covid-19 serta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian mengumumkan negeri itu akan mengadakan jual beli secara e-bazar sepanjang Ramadan ini seterusnya memperkenalkan dua platform e-dagang khas iaitu GRAB Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri sudah mengenal pasti 77 pusat pengumpulan yang terdiri daripada 10 dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:43 AM