SEKITAR Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SEKITAR Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Hidayah Bahaudin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan sebarang bentuk aktiviti jualan atau penganjuran Bazar Aidilfitri di Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadhan 2020 di 65 lokasi di ibu kota.

DBKL pada kenyataan hari ini memaklumkan, penjaja yang sudah berdaftar bagi kedua-dua bazar berkenaan diberi tempoh bermula 12 tengah hari 20 hingga 30 April ini melalui laman sesawang https://elesean.dbkl.gov.my/ebazar untuk memilih satu daripada dua pilihan diberikan.

“Pilihan pertama adalah tidak menuntut sebarang bayaran fi lesen, caj perkhidmatan atau pembersihan, sewa tapak, wang cagaran dan mana-mana berkaitan yang sudah dibayar. Bayaran itu tidak akan dipulangkan, namun layak secara automatik berniaga di kedua-dua bazar terbabit pada tahun depan.

“Bagi penjaja yang mahu menuntut semula semua bayaran berkenaan, akan dimaklumkan cara permohonan serta proses pemulangan berkaitan. Mereka yang memilih pilihan ini tidak layak untuk berniaga di kedua-dua bazar berkenaan pada tahun depan dan perlu membuat permohonan semula sebaik dibuka nanti,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, keputusan penjaja memilih satu daripada pilihan itu adalah muktamad dan tiada rayuan akan dilayan selepas pilihan dibuat.

“Bagi penjaja yang tidak membuat sebarang pilihan, dianggap memilih pilihan pertama dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.

“Apa-apa bayaran (selain bayaran lesen DBKL) yang sudah dibuat terus kepada mana-mana persatuan, penjaja perlu berurusan terus dengan pihak berkaitan kerana DBKL tidak terbabit dengan sebarang penerimaan mahupun pemulangan bayaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 2:44 PM