LIEW (depan) ketika melawat tapak cadangan pembinaan kompleks mahkamah baru Johor Bahru di Iskandar Puteri. FOTO Hairul Anuar Rahim
LIEW (depan) ketika melawat tapak cadangan pembinaan kompleks mahkamah baru Johor Bahru di Iskandar Puteri. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


CADANGAN sama ada mahu meneruskan pemansuhan hukuman mati mandatori hanya akan diputuskan jemaah menteri sebelum Parlimen bersidang, bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, keputusan muktamad itu akan diputuskan selepas mengambil kira pendapat semua pihak terutamanya ahli keluarga kepada mangsa bunuh.

“Saya sudah berjumpa dengan banyak pihak seperti ahli keluarga yang dibunuh, banduan akhir dan ahli keluarga mereka juga, saya dapat kunjungan badan bukan kerajaan (NGO), selain menerima banyak emel dan surat dalam isu pemansuhan hukuman mati mandatori ini.

“Saya ambil berat pandangan semua pihak berkenaan dan memahami perasaan mereka yang hilang orang kesayangan. Keputusan muktamad akan dibuat sebelum Parlimen bersidang Mac ini. Kita tunggu keputusan pihak jemaah menteri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar, hari ini.

Pada 10 Oktober 2018, Harian Metro melaporkan bahawa pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Berikutan itu, semua pelaksanaan hukuman mati itu akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Selain itu, kabinet turut mempertimbangkan mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Pada masa sama, Liew ketika ditanya apakah pendirian peribadinya mengenai pemansuhan itu, beliau tidak mahu pandangan peribadinya diambil kira.

“Bagi saya, dalam perkara ini, perasaan peribadi saya tidak diambil kira. Apa saya rasa, adalah sulit, saya simpan dalam hati.

“Saya tidak boleh melanggar jemaah menteri yang memberi mandat kepada saya untuk menjalankan tugas. Ini memang satu manifesto Pakatan Harapan (PH) dan hasrat kerajaan baharu. Tapi, kita tunggu sahaja keputusan muktamad dalam masa terdekat,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Keputusan hapus hukuman mati belum muktamad
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:52 PM