GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori kerana masih membuat konsultasi dan kajian mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga sedang mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

"Keputusan muktamad (mansuh hukuman mati mandatori) belum dibuat kerana kita masih mendapatkan maklum balas semua pihak.

"Media pun ada buat kajian (undian), ada yang (rakyat) setuju, ada yang tidak (hukuman mati mandatori dimansuhkan).

"Maklum balas yang diterima akan dibawa ke Peguam Negara dan selepas itudibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa masuk ke Parlimen. Jadi kita masih belum dapat keputusan yang muktamad," katanya.

MUHYIDDIN (kanan) menyampaikan sijil tauliah kepada pegawai lantikan khas. FOTO Mohd Farid Noh
MUHYIDDIN (kanan) menyampaikan sijil tauliah kepada pegawai lantikan khas. FOTO Mohd Farid Noh

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Gambir berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra di Dewan Serbaguna Bukit Gambir,dekat Pagoh, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; ADUN Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan Pengarah Media Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Solihan Badri.

Ditanya mengenai kebimbangan rakyat jika kerajaan meneruskan langkah pemansuhan hukumam mati mandatori, Muhyiddin berkata, pandangan semua pihak termasuk rakyat diambil kira.

"Mungkin akan ada sesi penjelasan sebelum keputusan dimuktamadkan walaupun negara lain sudah banyak menghapuskan (hukuman mati mandatori).

"Itu negara lain. Di Malaysia mungkin ada latar berlakang yang boleh kita tengok dan untuk lebih adil, maklum balas menyeluruh akan diteliti supaya keputusan yang akan kita buat terutama pindaan dalam akta memenuhi kehendak negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 6:26 PM