GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN bersetuju meminda menghapuskan hukuman mati mandatori kepada hukuman mati atas budi bicara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Beliau berkata, ia akan membabitkan sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Kita akan menggantikan hukuman mati mandatori atas budi bicara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang mahu tahu berkaitan kajian terperinci yang sudah dilaksanakan sebelum keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori dicapai di Dewan Rakyat hari ini.

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, Pejabat Peguam Negara dalam peringkat akhir untuk menyediakan kertas perundangan bagi tujuan itu.

Beliau mengumumkan Kabinet memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta undang-undang akan dimansuhkan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan (pembunuhan).

Bagaimanapun pada 14 Februari lalu, Liew berkata, keputusan muktamad akan dibuat Kabinet dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan termasuk NGO, banduan dan keluarga mereka serta keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat jenayah.

Menjawab soalan tambahan Che Abdullah berkaitan syor penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen untuk membincangkan perkara itu sebelum dijadikan rang undang-undang, Hanipa berkata, kerajaan belum membuat keputusan berkaitan pemansuhan hukuman berkenaan.

“Bagaimanapun itu cadangan yang baik, saya akan bawa kepada pihak atasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 1:05 PM