NUR Husnina menunjukkan gambar kenangan Nadya serta Sharifuden.  (Gambar kanan) Nadya bersama Sharifuden. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
NUR Husnina menunjukkan gambar kenangan Nadya serta Sharifuden. (Gambar kanan) Nadya bersama Sharifuden. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


“SHARIFUDEN sudah memaklumkan kepada kami hasratnya untuk berkahwin dan meminta kami meminang rakan wanitanya (Nadya) dijangka pada Mac ini, tetapi sudah takdir mereka pergi dahulu,” kata Koperal Shahidan Omar, 59.

Shahidan adalah bapa kepada Sharifuden, 34, yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Batu 11 Segari di Manjung, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Proton Persona dipandu Sharifuden bertembung dengan Proton Iswara dari arah bertentangan.

Turut maut, bakal tunangnya, Nadya Othman, 36, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta dipandu Allahyarham dan seorang lelaki warga Indonesia yang juga penumpang hadapan Proton Iswara.

Pemandu Proton Iswara, Henson Elizabeth Saimah, 31, berasal dari Sarawak pula cedera parah dalam nahas terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian Sharifuden dan Nadya yang sudah setahun berkenalan dalam perjalanan pulang ke Manjung dari Sungai Kerang, Taiping selepas mencuba baju bakal dipakai pada hari pertunangan mereka dijangka berlangsung pada 25 Mac ini.

Shahidan berkata, anak sulung daripada lima beradik itu pulang ke rumah mereka di Pulau Pinang pada 18 Januari lalu bersama adik bongsunya dan Nadya serta anak perempuan Nadya untuk berbincang mengenai majlis pertunangan mereka.

“Dia (Sharifuden) beritahu mahu bertunang dan dia ajak kami pergi merisik sekali majlis pertunangan pada Mac ini.

“Saya cakap dengan dia beli cincin nanti kami datang (ke Manjung) bawa rombongan meminang dan terus sarung cincin,” katanya sayu ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM), hari ini.

Katanya, persiapan untuk majlis pertunangan itu masih belum dibuat, namun mereka sudah merancang untuk membuat satu majlis perkahwinan untuk kedua-dua belah pihak pada November ini.

“Apa yang dirancang tidak kesampaian, namun kami reda dengan ketentuan ini dan saya menerima berita sedih ini daripada ibu arwah Nadya pada 1.50 pagi tadi sebelum bergegas ke Manjung.

“Arwah Sharifuden berkerja di sebuah restoran makanan segera di Manjung sejak empat bulan lalu dan kehilangannya sangat dirasai kerana dia seorang anak yang sangat baik, pendiam dan ringan tulang,” katanya yang juga anggota polis di Balai Polis Ayer Itam, Pulau Pinang.

Anak kepada Nadya, Nur Husnina Hamid Tuah, 13, berkata, walaupun terkejut kehilangan ibu tersayang sekelip mata dia menerima takdir itu dengan reda dan terus tinggal bersama datuk dan neneknya, Norsida Osman, 59, dan Othman Mat, 65.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa ibunya yang juga ibu tunggal pada tengah hari semalam sebelum ke sekolah pada 12.45 tengah hari.

Katanya, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelakuannya seperti biasa.

“Sebelum ke sekolah saya sempat salam ibu seperti biasa dan ketika itu ibu sedang bersiap untuk ke tempat kerjanya di restoran makanan segera sama tempat kerja dengan pakcik (Sharifuden).

“Kami tahu ibu dan pakcik sudah tiada selepas dimaklumkan pak lang (adik Nadya).. Saya terkejut dan sedih manakala opah menangis sebaik menerima berita itu,” katanya.

Katanya, ibunya baru sahaja berkerja di restoran makanan segera tidak sampai sebulan dan mereka tinggal bersama datuk dan nenek serta bapa saudara di Taman Desa Bayu, Seri Manjung.

“Walaupun ibu sudah tiada, pesanannya menyuruh saya belajar bersungguh-sungguh akan diingati sampai bila-bila,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung.

Sementara itu, adik Nadya, Naimrah Othman, 33, berkata, kakak sulung itu ke Sungai Kerang untuk mencuba baju pertunangan ditaja rakannya.

“Jika mengikut perancangan mereka berdua akan bertunang pada 25 Mac ini, namun kami reda dengan pemergian kakak yang disifatkan seorang ceria dan mudah mesra,” katanya.

Jenazah Sharifuden akan dibawa pulang dan dikebumikan di Ayer Itam.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Mangsa maut bakal bertunang
  • Berita berkaitan:

  • 3 maut, 1 parah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:49 PM