KEMALANGAN dua kenderaan di Batu 11, Segari. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN dua kenderaan di Batu 11, Segari. FOTO ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi

TIGA yang maut dalam kemalangan di Batu 11, Segari, Manjung malam termasuk pasangan yang bakal bertunang dan seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Seorang lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu adalah lelaki berasal dari Sarawak.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, nahas membabitkan Proton Persona dan Proton Iswara.

Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Persona, Sharifuden Shahidan, 34; penumpang hadapan kereta berkenaan, Nadya Othman, 36, serta penumpang hadapan Proton Iswara, yang masih belum diketahui indentitinya.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, pemandu Proton Iswara, Henson Elizabeth Saimah, 31, patah kaki kanan dan luka di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada 12.06 tengah malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Persona yang dinaiki Sharifuden dan Nadya dari arah Taiping menghala ke arah Seri Manjung, manakala Proton Iswara dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai Proton Iswara gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Persona yang berada di laluan yang sah.

"Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Proton Persona serta penumpang sebuah lagi kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di Manjung, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang parah di bawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut manakala ketiga-tiga mayat di hantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

"Mangsa yang belum dikenal pasti dipercayai lelaki warga Indonesia yang tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Setakat ini mayat berkenaan sudah dicam oleh seorang rakannya," katanya.

Berita berkaitan:

  • 3 maut, 1 parah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:01 PM