ADLY berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
ADLY berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Fairuz Zaidan


PILIHAN Raya Kecil (PRK) adalah medan terbaik bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menguji keberkesanan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, e-undi melalui PRK juga dapat menguji keberkesanan sistem penyampaian sebagaimana dicadangkan oleh SPR bagi mereformasikan sistem pilihan raya negara.

“Pelaksanaan e-undi perlu perbincangan lanjut kerana sistem yang diguna pakai adalah sistem terbaharu. Saya fikir kalau mahu dilaksanakan ia boleh dibuat pada PRK tertentu sebagai satu projek perintis.

“Saya berpendapat a tidak boleh terus dilaksanakan dalam PRU. Melalui projek perintis pada PRK, saya kira ia dapat melihat sejauh mana keberkesanan e-undi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka mengulas laporan BH kelmarin di mana SPR mempertimbangkan pelaksanaan e-undi yang didakwa lebih selamat dan menjimatkan kos, sebagai sebahagian daripada reformasi sistem pilihan raya negara.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, dipetik sebagai berkata, pihaknya sudah melakukan 'pencarian fakta' serta berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pegawai dari negara yang sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian internet.

Kajian SPR turut mendapati kaedah berkenaan yang digunakan di Russia, Korea Selatan, India dan Congo, juga dapat menjimatkan banyak masa serta meminimumkan jumlah kakitangan diperlukan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dipetik dalam sebuah laporan berkata, cadangan SPR itu belum dibincang di peringkat Kabinet.

Foto Rasul Azli Samad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:31 PM