Laporan terdahulu kejadian tiga sekeluarga lemas di Sungai Pedu, Padang Terap dalam laman web, Harian Metro.
Laporan terdahulu kejadian tiga sekeluarga lemas di Sungai Pedu, Padang Terap dalam laman web, Harian Metro.
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA terkilan tak dapat selamatkan rakan baik saya (Mohamad Ramli Ibrahim, 65), sebaik sampai di tempat kejadian, arwah dan dua cucunya sudah tenggelam,” kata Jaafar Saad, 56.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari ini, perkelahan Mohamad Ramli bersama keluarga di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu, Padang Terap, bertukar tragedi apabila dia maut bersama dua cucunya akibat lemas.

Selain Mohamad Ramli, tragedi itu meragut nyawa Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan adiknya, Nur Shariza Hafiza Samsudin, 14.

Menceritakan lanjut, Jaafar berkata, ketika kejadian dia cuba membantu cucu Mohamad Ramli yang berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing dengan menekan dadanya untuk mengeluarkan air dari mulut.

Selepas itu, katanya, dia dan penduduk kampung berusaha mengambil tali untuk dibaling ke dalam air yang ketika itu sangat deras, namun kelibat ketiga-tiga mangsa hilang dibawa arus.

“Ketika itu saya buntu memikirkan usaha untuk menyelamat sia-sia dan cuba nak turun ke dalam sungai tetapi bimbang dihanyutkan air deras.

“Kami hanya menunggu bantuan dari pasukan penyelamat untuk membantu mencari mangsa di dalam sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Jaafar menjelaskan kawasan itu kerap dikunjungi pengunjung untuk berkelah dan boleh dikatakan setiap hari ada orang datang ke situ kerana biasanya paras air cetek dan hanya paras lutut.

Bercerita mengenai Mohamad Ramli yang dikenalinya, Jaafar berkata, arwah yang juga pesara Majlis Amanah Rakyat (MARA) banyak menghabiskan masa di rumah dan seronok apabila anak serta cucunya pulang ke rumah sempena cuti kali ini.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah pada malam kelmarin di surau berhampiran rumah mereka di Kampung Tanjung Luar yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah menasihatkan orang ramai supaya tidak beriadah di kawasan itu kerana terdapat papan tanda amaran dilarang mandi di situ bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Berita berkaitan

'Hmm panas-panas' status terakhir

'Pilunya lihat suami, dua cucu lemas'

'Tragedi berkelah, 1 lemas, 2 hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:34 PM