PERALATAN dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah yang ditemui ketika penahanan dua suspek. FOTO ihsan Polis
PERALATAN dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah yang ditemui ketika penahanan dua suspek. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian pecah rumah di kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, anggota Balai Polis Cheras menahan dua suspek berusia 24 tahun itu ketika menaiki motosikal di Tamam Segar, Cheras, Jumaat lalu.

"Pemeriksaan terhadap suspek menemui dadah jenis erimin 5 yang dianggarkan seberat 0.6 gram dan beberapa peralatan dipercayai untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

"Siasatan lanjut di rumah suspek di sekitar pusat bandar ini menemui tiga komputer riba, satu telefon bimbit dan satu televisyen dipercayai hasil kegiatan pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin.

Katanya, semakan terhadap motosikal dinaiki dua suspek terbabit sedang dijalankan selepas nombor casis dan nombor enjin motosikal itu tidak dapat dibaca kerana dipercayai dirosakkan.

"Semakan mendapati seorang daripada dua suspek berkenaan mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan satu rekod membabitkan jenayah samun bersenjata.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras untuk direman selama enam hari bermula 2 hingga 7 Febuari ini bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan selain Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 serta Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama kerana kesalahan berkaitan dadah dan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:06 PM