Lelaki yang berjaya ditahan orang awam. (Gambar kecil) Pisau yang dirampas daripada lelaki itu. FOTO Ihsan Polis
Lelaki yang berjaya ditahan orang awam. (Gambar kecil) Pisau yang dirampas daripada lelaki itu. FOTO Ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI berusia 52 tahun dari Taman Perling, Johor Bahru ditahan hari ini selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, lelaki itu ditahan orang awam dan dipercayai dipukul sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada mangsa yang datang ke Balai Polis Perling memaklumkan mengenai orang yang disyaki menyamunnya sudah ditahan rakannya di Jalan Uda Utama, Taman Perling.

"Anggota Ops Cegah Jenayah (OCJ) Balai Polis Perling terus ke lokasi dimaklumkan dan berjumpa rakan mangsa. “Mereka mengaku berjaya menahan lelaki yang disyaki melakukan samun itu sebelum menyerahkan sebilah pisau 23 sentimeter (cm) kepada anggota OCJ.

“Anggota OCJ menahan lelaki warga tempatan itu dan membuat pemeriksaan, namun tiada barang salah padanya serta terdapat kesan lebam pada muka dan badan dipercayai dipukul orang awam,” katanya.

Mengenai kejadian samun itu, Mohd Taib berkata, mangsa berada di Jalan Uda Utama 3/4, Bandar Uda Utama dan berjalan kaki ke sebuah kedai makan sebelum didatangi sebuah kereta.

“Kereta itu datang ke arah mangsa dan kemudian berhenti sebelum keluar seorang lelaki lalu mengacukan pisau kecil serta mengarahkan mangsa mengeluarkan wang.

“Mangsa enggan dan suspek terus memukulnya di bahagian kepala dengan menggunakan objek keras sehingga menyebabkan mangsa pengsan,” katanya.

Menurutnya, ketika pergelutan, jari kiri mangsa terkena pisau kecil menyebabkan luka dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis bersama pisau berukuran 23 cm, kunci kereta dan Proton Wira.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:10 PM