Penguat kuasa memeriksa wanita warga asing dalam serbuan di rumah urut kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Penguat kuasa memeriksa wanita warga asing dalam serbuan di rumah urut kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Hadzlihady Hassan


BELUM sempat menikmati urutan manja wanita seksi, kena serbu pula.

Itu yang berlaku apabila sekumpulan lelaki warga emas yang mendapatkan khidmat tukang urut wanita warga Thailand hanya mampu terdiam selepas dua pusat urut diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) di Bukit Mertajam, malam kelmarin.

Dalam operasi jam 10 malam dan berakhir lima jam kemudian itu, ada antara lelaki berkenaan dilihat dalam keadaan separuh bogel dengan badan hanya ditutup tuala.

Difahamkan, wanita yang bekerja sebagai tukang urut itu turut menawarkan khidmat urutan batin dengan mengenakan caj tambahan RM50.

Tawaran menarik itu membuatkan lelaki warga emas kerap berkunjung ke premis terbabit dan mereka selalunya berurusan dengan tukang urut ketika berada dalam bilik jika mahu mendapatkan khidmat urutan batin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan enam wanita warga Thailand yang bekerja di dua premis pusat urut di Lorong Seri Impian dan Taman Berjaya Indah.

Menurutnya, pekerja berusia 30 hingga 40-an itu ditahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan.

“Selain itu, 10 pelanggan terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia 50 hingga 60-an turut diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut melakukan operasi di dua rumah teres di Taman Sukun yang menjadi lokasi tempat tinggal lelaki dan wanita warga Myanmar.

“Selepas pemeriksaan, kita dapati semua penghuni di dua rumah terbabit mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Secara keseluruhan, kita melakukan pemeriksaan terhadap 37 individu dalam operasi itu dengan enam daripadanya ditahan kerana menyalahguna pas lawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 1:04 PM