Nur Izzati Mohamad


SURI rumah warga China kerugian RM38,000 dipercayai ditipu individu yang menawarkan tukaran mata wang tidak wujud di Butterworth kelmarin.

Dalam kejadian itu mangsa berusia 44 tahun dikatakan mahu membuat penukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) kepada mata wang Yuan China untuk dihantar kepada keluarganya di negara itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa memberitahu dia melayari aplikasi Wechat sebelum berminat dengan iklan penukaran mata wang asing itu.

“Mangsa menghubungi nombor telefon diberi dan berhubung dengan lelaki yang mendakwa ejen syarikat tukaran mata wang asing yang menawarkan penukaran mata wang asing pada kadar tinggi.

“Tidak tahu dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat penukaran RM38,000 kepada Yuan China dan ejen itu berjanji akan memasukkan wang ke dalam akaun keluarganya,” katanya hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa membuat dua transaksi pindahan deposit tunai di sebuah bank di Butterworth.

“Sebaik selesai melakukan pemindahan wang seperti diarahkan, mangsa terkejut apabila ahli keluarganya tidak memperoleh wang berkenaan.

“Ketika itu, mangsa menyedari dia ditipu oleh ejen terbabit dan membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:40 PM