GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhamaad Razis Ismail


PENGANGGUR dipenjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap tuduhan merompak jirannya, bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Masroni Abdul Roja, 36, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 April 2018.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak rantai emas milik Sariah Che Abdullah, 44, di Kampung Parit Limbat, Kota Bharu, pada 5.45 pagi, 21 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa sedang memasak, seorang lelaki datang dari arah belakang dan menekup mulutnya.

Mangsa kemudian meronta-ronta dan menjerit meminta tolong sebelum lelaki itu mengambil rantai emas di tangan kanan mangsa dan melarikan diri.

Wanita itu bagaimanapun sempat melihat wajah tertuduh yang juga jirannya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal untuk beri pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 12:37 PM