Mohd Izham Unnip Abdullah


MANGSA banjir yang dipindahkan di Sabah terus meningkat kepada 2,607 orang, setakat tengah hari ini berbanding 2,555 mangsa yang dilaporkan, jam 8 pagi hari ini.

Ia berikutan pertambahan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di daerah kecil Paitan yang menempatkan seramai 48 mangsa, menjadikan enam daerah berlaku pemindahan mangsa akibat banjir, setakat ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanann Awam Malaysia (APM) Sabah, berkata jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan setakat jam 12 tengah hari ini kekal di Kota Marudu seramai 2,470 orang dengan 518 keluarga.

Katanya, bakinya masing-masing di Pitas seramai 27 mangsa daripada lapan keluarga, daerah kecil Matunggong (24 mangsa), Kota Belud (26 mangsa) dan Sipitang seramai 12 mangsa.

“Sebanyak 19 PPS dibuka berbanding 17 PPS pada pagi tadi dengan di Kota Marudu (12), masing-masing dua di Pitas dan daerah kecil Paitan, manakala masing-masing satu di daerah kecil Matunggong, Kota Belud dan Sipitang,” katanya.

Banjir mula melanda daerah terbabit awal pagi semalam akibat hujan berterusan sejak Jumaat dengan Kota Marudu daerah pertama melaksanakan pemindahan, jam 8 pagi semalam membabitkan 118 mangsa sebelum meningkat kepada 1,425 mangsa malam semalam.

Berita berkaitan

Lebih 2,500 mangsa banjir dipindahkan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:28 PM