Balqis Jazimah Zahari


DATUK Seri Najib Razak mengejutkan pengunjung premis nasi kandar ayam merah Ipoh atau lebih dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai ‘nasi ganja’ atau ‘vanggey’ dengan hadir ke situ hari ini.

Beliau tiba di premis nasi kandar yang menyewa kedai kopi Yong Suan di Jalan Yang Kalsom, Ipoh pada jam 1.20 tengah hari.

Kehadirannya menarik perhatian pengunjung dan tidak kurang juga yang melaung tagline ‘bossku’ yang sedang popular terhadap beliau ketika ini.

Antara menu yang dipesan beliau adalah daging rendang, kari ikan bawal, kari sotong, masakan ayam merah, telur masin, minuman air barli ais serta pemanis mulut kastad karamel.

Najib berkata, beliau memang sudah biasa menjamu nasi vanggey itu malah sudah lama mengenali pemilik restoran yang menjadi sebutan dan ikonik di Ipoh.

“Saya sudah biasa menjamu nasi vanggey ini tetapi ini kali pertama saya berpeluang ke restoran ini.

“Memang kalau pergi di kedai ini (makan di restoran) ia lagi baik dan rasa makanan lagi sedap serta suasana bersama rakyat,” katanya ditemui selepas selesai menjamu selera di situ.

Beliau berkata, memang dia akan mencari peluang untuk mendapatkan juadah itu apabila datang ke Ipoh.

“Paling sedap dan istimewa adalah rasa kuahnya, dia punya kuah memang dijaga macam formula Coca Cola..orang tidak tahu apa formula dia, tetapi sedap sangat,” katanya yang meluangkan masa kira-kira sejam di kedai makan itu.

Najib juga berkata, sebelum datang ke Ipoh, beliau berkunjung ke kawasan rekreasi Teratak Riverview di Tanjung Malim.

“Tempat itu terpaksa kita menggunakan kenderaan 4x4 (pacuan empat roda), jalan memang ‘off track’...ada tempat terpaksa menyeberang sungai, sangat mencabar tetapi sangat menyeronokkan.

“(Ini) satu ‘adventure’ dan pengalaman baru dan saya memandu 4x4 sendiri dan saya nak menyatakan bahawa inilah satu bentuk rekreasi yang sangat memuaskan hati kerana kita dapat mengaspirasikan alam sekitar yang ada di Malaysia ini yang kadang-kadang kita ini terlepas pada tempat yang begini indah, semula jadi di dalam negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 4:34 PM