YAHYA dari Kajang, pengguna kerusi roda
YAHYA dari Kajang, pengguna kerusi roda
Idris Musa


“SAYA pakai kerusi roda, tapi apabila tiba di sini, saya letaknya di luar,” kata warga emas, Yahya Md Nor, 68, mengenai penggunaan kerusi roda untuk solat.

Yahya berkata, selalunya dia datang dengan kerusi roda yang ditolak cucunya, namun tidak pernah membawa masuk kemudahan itu ke dalam kawasan solat kerana khuatir aspek kebersihannya.

“Saya letak (kerusi roda) di luar, kerana takut ada najis (pada roda) malah tongkat pun saya letak di tepi sana. Kita solat kena bersih,” kata pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu ketika ditemui di sebuah surau Jumaat di Kajang, hari ini.

Dia mengalami lemah badan, terutama pada sebelah kanan selepas terjatuh dalam parit kira-kira lima tahun lalu dan kesan daripada itu menyukarkannya bersolat.

Isu penggunaan kerusi roda untuk bersolat timbul selepas media melaporkan video lelaki cacat di Indonesia diarah bersolat di luar Masjid Besar Sumatera Barat di Padang, kerana kerusi rodanya dianggap tidak bersih.

Menurut The Jakarta Post, Abraham Ismed menulis pengalamannya berbalah dengan pegawai keselamatan masjid yang diluahkannya di medai sosial, Instagram.

Netizen mengutuk sikap pegawai keselamatan yang dianggap mendiskriminasi, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan kepada orang kurang upaya (OKU).

Mengulas isu itu, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, tiada masalah bersolat dengan kerusi roda asalkan ia bersih.

“Tak mengapa, asalkan bersih, sama juga bersolat menggunakan kerusi biasa. Cuma pemilik (pengguna) perlu memastikan ia bersih,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya jika ada pihak masjid menetapkan tempat tertentu dikhaskan kepada OKU, termasuk mereka berkerusi roda kerana faktor kebersihan, katanya, ia tertakluk kepada pihak masjid terbabit.

Bagaimanapun beliau memuji kegigihan mereka yang dalam kepayahan, termasuk mengalami keuzuran tetap hadir ke masjid atau surau untuk solat berjemaah.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara Ahmad Faizal Azman berkata, tiada larangan terhadap OKU atau mereka menggunakan kerusi roda untuk bersolat di masjid itu.

Malah, katanya, pihak masjid sendiri ada menyediakan kerusi roda bagi memberikan kemudahan kepada individu memerlukannya untuk mengerjakan solat.

“Di masjid ini ada disediakan kerusi roda, yang diwakafkan dan kita juga ada orang yang boleh membantu.

“Malah Masjid Negara juga dalam usaha menambah baik kemudahan supaya mesra OKU.

“Insya-Allah kalau boleh (disiapkan) tahun ini, sebab sekarang kita sedang melakukan ubah suai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:34 PM