Agensi

JAKARTA: Video lelaki cacat diarah untuk bersolat di luar Masjid Besar Sumatra Barat di Padang, Sumatera Barat, kerana kerusi rodanya dianggap tidak bersih mencetuskan kemarahan di media sosial.

Menurut The Jakarta Post, Abraham Ismed turut menulis pengalamannya berbalah dengan pegawai keselamatan masjid yang diluahkannya di Instagram menerusi akaun @boy1492.

Abraham menerima 582 ‘like’ dan 241 komen. Rata-rata netizen mengutuk sikap pegawai keselamatan yang dianggap mendiskriminasi, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Abraham turut mengutuk peraturan di masjid itu sebagai "tidak masuk akal."

“Adakah saya perlu merangkak masuk ke dalam masjid untuk bersolat? Kerusi roda ibarat kaki untuk OKU seperti saya,” kata Abraham yang turut mengakui ia bukanlah kali pertama dia didiskriminasi kerana berkerusi roda.

Pekerja di masjid terbabit, Yulius Said, berkata pegawai keselamatan sudah menawarkan bantuan untuk membantu Abraham masuk ke dalam masjid tanpa perlu berkerusi roda, tetapi ditolak.

“Memasuki masjid dengan berkerusi roda adalah sama seperti memakai kasut ketika bersolat. Kita tidak tahu sejauh mana kebersihan kerusi roda itu, “ katanya.

Timbalan Gabenor Sumatera Barat, Nasrul Abit turut dilaporkan kecewa dengan kejadian berkenaan.

“Setiap orang Islam termasuklah golongan cacat, dibenarkan memasuki masjid besar.

“Perkara ini diketahui oleh Gabenor Irwan Prayitno dan mengarahkan pegawainya untuk bercakap dengan pihak berkuasa masjid,” kata Nasrul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 2:52 PM
Abraham menulis pengalaman dan menyiarkan video yang menidakkan golongan berkerusi roda memasuki Masjid Besar Sumatra Barat. FOTO IG Abraham Ismed
Abraham menulis pengalaman dan menyiarkan video yang menidakkan golongan berkerusi roda memasuki Masjid Besar Sumatra Barat. FOTO IG Abraham Ismed