Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: Kecekalan dan kegigihan orang kurang upaya (OKU) kerdil, Mohd Sahrulnizam Roslan, berulang-alik untuk bersolat jemaah di masjid dengan menggunakan kerusi roda bateri nyata menyentuh hati sesiapa yang melihatnya.

Mohd Sahrulnizam, 27, yang menetap di Taman Sebang Gemilang, Padang Sebang, di sini, kelihatan tenang ketika mengendalikan kerusi roda itu sendirian dari rumahnya ke Masjid An-Najihin yang terletak hampir satu kilometer.

Lebih menakjubkan, walaupun tubuhnya persis kanak-kanak berusia empat tahun, dia mahir mengendalikan kerusi roda berlampu untuk menyusuri laluan gelap malam melalui kawasan perkuburan sama ada ketika pergi atau pulang dari masjid.

Menurutnya, dia kebiasaannya akan solat jemaah di masjid pada waktu Maghrib dan selepas Isyak, selain waktu lain sama ada Zuhur, Asar dan solat Jumaat.

"Saya memerlukan masa untuk bersiap kerana keadaan fizikal dan tidak boleh berjalan menyebabkan ibu atau adik terpaksa mendukung saya ke kerusi roda.

"Apapun saya beruntung kerana masjid itu menyediakan laluan OKU membolehkan saya mengambil wuduk atau membuang air di tandas di situ.

KECEKALAN dan kegigihan Mohd Sahrulnizam bersolat di masjid. FOTO Nazri Abu Bakar
KECEKALAN dan kegigihan Mohd Sahrulnizam bersolat di masjid. FOTO Nazri Abu Bakar

"Biasanya, saya berwuduk di rumah dan sebaik sampai di masjid saya akan bersolat di atas kerusi roda kerana tidak boleh bergerak.

"Walaupun ramai ingin mendukung masuk ke dalam masjid, saya lebih selesa berada di atas kerusi roda di bahagian beranda sambil bersolat," katanya.

Menurutnya, ketika berusia 15 tahun dia boleh berjalan, tetapi serangan saraf ketika itu menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Dia yang belajar sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Pengkalan pernah melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi dalam bidang teknologi maklumat.

Katanya, selepas tamat pengajian selama tiga tahun dia tidak memperoleh pekerjaan dan kini hanya berada di rumah dengan ibu dan adik perempuan.

"Walaupun sedih apabila ayah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Pegoh, dua tahun lalu, kehidupan tetap diteruskan biarkan kehilangan insan disayangi.

"Malah saya tetap bersyukur kerana masih mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ahli keluarga.

"Ibu yang juga operator kilang serta dua adik adalah teman istimewa yang memberi kekuatan dan semangat kepada saya untuk terus tabah menjalani kehidupan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun CIMB 762 422 2773 atas nama Mohd Shahrulnizam Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 2:24 PM