AKI  bersama Hawa ceria ketika berbual di rumah mereka di Bandar Universiti, Seri Iskandar.
AKI bersama Hawa ceria ketika berbual di rumah mereka di Bandar Universiti, Seri Iskandar.
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Biarpun kudrat dan upaya tidak sama seperti dulu dan diuji pula dengan kesihatan yang kurang baik, kasih sayang pasangan warga emas di Taman Universiti di sini, terus mekar dan saling bergantung antara satu sama lain.

Aki Wahab, 68, dan Hawa Mohamad, 66, mendirikan rumah tangga sejak 1975 dan tidak dikurniakan anak tetapi rasa cinta sesama mereka tidak pernah luntur.

Aki yang juga pesara anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA), tidak boleh berjalan berikutan penyakit lebihan cecair di kepala sejak dua tahun lalu selain mempunyai penyakit jantung dan asma.

Hawa berkata, sejak suaminya tidak mampu berjalan, dia menguruskan sepenuhnya keperluan pasangannya itu termasuk menukar lampin pakai buang dan membeli makanan.

“Masa pak cik sihat dulu, dia yang keluar beli makanan, tetapi sekarang mak cik pula yang ambil alih dengan menunggang basikal kerana pergerakan dia terbatas.

“Makan pun bersuap kerana tangan pak cik tidak kuat sangat. Pak cik memang manja terutama sekarang, malah kalau mak cik nak ke kedai, dia juga mahu ikut sekali, terpaksalah menolak kerusi rodanya.

“Kadang-kadang terpaksa pujuk suruh tunggu di rumah sekejap dan dia mesti pesan jangan pergi kedai lama sangat,” katanya ceria ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Hawa, biarpun sudah berusia serta kerap sakit lutut, dia gembira melayan suaminya dan tidak pernah rasa terbeban dengan aktiviti hariannya.

“Ini janji kami dari awal pernikahan untuk sentiasa bersama walaupun berada dalam keadaan susah atau senang dan kami selalu berbual untuk mengeratkan hubungan.

“Walaupun tiada rezeki cahaya mata, kami bahagia dengan cara kami serta bersyukur dengan apa yang ada. Kadang-kadang ada saudara datang melawat,” katanya.

Aki yang sudah bersara sejak 14 tahun lalu pula berkata, kelangsungan hidup dia dan isteri bergantung kepada wang pencen yang diterima setiap bulan selepas ditolak pembayaran rumah dan urusan lain.

Dia mengakui pengorbanan isteri menjaga dan menguruskan dirinya sangat dihargainya.

“Kalau dia (Hawa) tiada seminit pun sudah rasa susah hati. Saya berharap kami dapat sehidup semati, namun takdir Allah siapa yang dapat halang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 9:13 AM