KUCING peliharaan Asmah mengisi kekosongan hidup tidak mempunyai anak.
KUCING peliharaan Asmah mengisi kekosongan hidup tidak mempunyai anak.
MOHD Ngadani dibantu isterinya menyiapkan tempat baring.
MOHD Ngadani dibantu isterinya menyiapkan tempat baring.
Norrasyidah Arshad


Kuala Langat: Walaupun usia perkahwinan sudah lebih 30 tahun dan tidak dikurniakan cahaya mata, tetapi pasangan warga emas, Mohd Ngadani Mokhtar, 62, dan Asmah Amsar, 68, tetap ceria menyambut Aidilfitri bersama kucing peliharaannya.

Sambutan Hari Raya mereka itu ceria dengan kehadiran tujuh ekor kucing yang diberi mana Noni, Uji Rashid, Cok Mat, Bujan Kelanang, Pak Mat Parang Tajam, Akak dan Saerah.

Pasangan berkenaan yang juga kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa adik perempuan Asmah yang tinggal dengannya sejak 30 tahun lalu tetapi meninggal dunia sehari sebelum Ramadan lalu.

Selain itu, pasangan berkenaan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan tidak menjadikan kedaifan yang mereka alami sebagai penyebab memudarkan kasih sayang antara mereka berdua.

Untuk menceriakan kehidupan seharian mereka, Mohd Ngadani yang kini tidak mampu berjalan serta Asmah yang sudah semakin dimamah usia memelihara tujuh ekor kucing dan dijaga seperti anak kandung mereka sendiri.

Dengan membahasakan diri sebagai ‘mak’ dengan haiwan peliharaannya itu, Asmah berkata, kucing berkenaan banyak mengisi ‘kekosongan’ dalam kehidupan mereka berdua.

“Anak-anak (kucing) ini faham apa yang mak cik dan pak cik katakan. Bila minta dicium, ia datang dan cium mak cik dan bila dimarah mereka menjauh.

“Lagi terharu, ketika mak cik berehat apabila penat dan anak-anak ini datang ‘memicit’,” katanya.

Asmah berkata, semua kucing yang dipeliharanya itu adalah kucing jalanan yang dikutipnya.

Katanya, dia dan suami tidak sampai hati untuk membiarkan semua kucing itu hidup tanpa jagaan dan sebab itulah mereka berdua mengutip dan membawanya pulang.

“Walaupun kami orang susah, saya dan suami sedaya-upaya membela kucing ini dengan cara kami.

“Apa yang kami makan, yang itulah juga kami berikan dan kadang-kadang, mak cik belikan makanan kucing untuknya,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Asmah yang lebih dikenali sebagai Leha berkata, sambutan Aidilfitri disambut ala kadar dengan apa yang ada.

Dia mengakui Aidilfitri kali ini tidak semeriah seperti sebelum ini selepas kehilangan adik perempuannya.

“Walaupun kami kerap bergaduh dan tidak sependapat ketika arwah adik masih ada, itulah yang membuatkan kami semakin erat dan mak cik makin rindu kepadanya.

“Jika orang lain sambut dengan gembira, makcik dan pakcik sambut dengan air mata. Tiada apa lagi yang kami harapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 6:56 AM