FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Bayar upah RM800 sebulan, tetapi kesudahannya mendapati dua anaknya yang berusia enam dan 11 tahun menjadi mangsa dera penjaga termasuk dipukul dengan rotan dan paip, diikat dengan tali, disimbah air panas di atas badannya serta dicucuh puntung rokok. Itulah nasib yang menimpa seorang ibu tunggal, M Vikneswari, 30, apabila kedua-dua anaknya itu dihantar pulang dengan kenderaan e-hailing oleh pengasuh dalam keadaan mereka penuh dengan kesan lebam, luka hampir di seluruh anggota badan kecuali di kemaluan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Johor dan kini kedua-dua anaknya sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana dikhuatiri mengalami jangkitan kuman kerana luka di hampir seluruh badan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian terbabit dan beberapa individu termasuk pengasuh dan ahli keluarganya ditahan bagi membantu siasatan.

Ironinya, mutakhir ini semakin banyak kes penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak termasuk yang membawa kepada kematian mangsa dilaporkan berlaku di negara kita. Walaupun ketika musim pandemik, bilangan kes penderaan yang dilaporkan tetap meningkat, bahkan cukup membimbangkan.

Antara kes yang dilaporkan sejak awal tahun ini ialah, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemui lemas dalam tong dan dipercayai didera di Krubong, Melaka. Seorang kanak-kanak berusia dua tahun pula dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelaki wanita itu dalam kejadian di Betong, Kuching.

Dalam satu lagi kejadian, dua adik-beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun menjadi mangsa penderaan pengasuh dan ahli keluarganya di Johor Bahru. Kesan kecederaan pada mangsa menunjukkan mereka dipercayai didera dengan cara memukul, menyepak dan memijak mangsa. Di samping itu kes berbentuk penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak juga dilaporkan terus meningkat.

Apa yang menyedihkan ialah pelakunya terdiri daripada kalangan ibu bapa sendiri, ibu atau bapa tiri, dan juga pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga mereka. Tak kiralah anak kandung, anak tiri mahupun anak yang kita jaga di pusat asuhan. Persoalanya, ke mana hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri mereka ini? Kenapa begitu mudah melepaskan geram dan rasa marah kepada anak kecil yang tidak berdosa serta tidak mampu membalas mahupun membuat apa-apa.

Malah, melihat kepada senario penderaan membabitkan bapa atau ibu kandung pula, penulis mula tertanya-tanya apakah kata-kata keramat yang sering kita laungkan, iaitu anak itu umpama kain putih dan ibu bapalah yang bakal mencorakkan masa depan mereka itu masih lagi relevan dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan untuk dikatakan masyarakat kita semakin tenat kerana sedang terpalit dengan begitu banyak krisis sosial seperti ini.

Walau apapun alasannya, perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak seperti ini tidak boleh diterima mahupun dikompromi sama sekali. Pada masa sama, ia juga satu perkembangan yang sangat tidak sihat terhadap usaha ke arah pembentukan Keluarga Malaysia yang dapat hidup bersatu padu dan harmoni berpaksikan nilai cinta dan kasih sayang yang sejati.

Oleh itu, semua pihak perlu bersatu hati untuk menolak perlakuan penderaan kanak-kanak dalam apa jua keadaan dan alasan sekalipun. Walaupun hukuman yang ada boleh dikatakan agak berat, namun kes penderaan tetap juga terus meningkat. Ini membuktikan kita memerlukan inisiatif tambahan terutamanya perlu banyak fokus kepada usaha untuk mengenalpasti punca dan seterusnya mencegah kejadian penderaan agar tidak terus berlaku dalam masyarakat kita.

Umumnya, kebanyakan kes penderaan ini berlaku dalam keluarga yang porak peranda dan bermasalah. Konflik rumah tangga menjadi antara punca utama pasangan suami isteri melepaskan geram kepada anak. Akibatnya anak yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan dan situasi bertambah buruk apabila ia membabitkan bapa atau ibu tiri kerana perasaan dan ikatan darah daging itu tidak ada kepada mereka. Antara punca konflik keluarga ialah masalah ketidakserasian pasangan suami isteri, masalah kewangan terutamanya di era pandemik, masalah tekanan di tempat kerja dan juga masalah dadah membabitkan suami ataupun isteri.

Jadi, konflik kekeluargaan ini perlu ditangani dengan segera. Walaupun peningkatan statistik kadar perceraian mungkin tidak memihak kepada harapan itu, namun itu bukan alasan untuk berdiam diri dan sekadar berpeluk tubuh menyaksikan anak yang tidak berdosa terus menjadi mangsa. Apa yang pasti generasi masa depan perlu dilindungi dan diselamatkan daripada terus menjadi mangsa penderaan.

Di samping itu, pengasuh yang diberikan amanah dan kepercayaan tinggi oleh ibu bapa juga perlu lebih bertanggungjawab. Jagalah amanah itu sebaik mungkin dengan cara layan dan asuh mereka sama seperti anak kandung sendiri. Jangan mengkhianati amanah yang diletakkan di bahu kita.

Tuntasnya, anak adalah anugerah yang tidak ternilai dan mereka adalah pewaris serta harapan masa depan negara ini. Justeru, baik ibu bapa, pengasuh atau mana-mana individu sekalipun hentikanlah segala bentuk penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak sebaliknya didik dan bentuklah mereka dengan acuan yang penuh dengan nilai cinta dan kasih sayang.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:00 AM