Mohd Shafie (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKN Khas Sabah di Bangunan PPNS di Kota Kinabalu. Foto Malai Rosmah Tuah.
Mohd Shafie (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKN Khas Sabah di Bangunan PPNS di Kota Kinabalu. Foto Malai Rosmah Tuah.
Mohd Izham Unnip Abdullah


KERAJAAN Sabah menafikan wujud cadangan untuk membubarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, agensi yang ditugaskan menyelaras usaha menjaga keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) merangkumi 10 daerah masih beroperasi seperti biasa.

“Saya tak dengar apa-apa cadangan (membubarkan ESSCOM). Ia masih lagi berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mamah dan Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang mengatakan ESSCOM bakal dibubarkan, namun tiada penjelasan lanjut mengenai sebab cadangan itu dibangkitkan.

ESSCOM ditubuhkan pada 2013 sebagai langkah drastik menangani keselamatan di kawasan pantai timur negeri ini berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada awal tahun berkenaan.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata, mesyuarat JKKN membincangkan usaha untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menangani aspek keselamatan di seluruh negeri.

“Kita kena pastikan keadaan keselamatan terkawal sepanjang masa bukan saja di kawasan ‘hotspot’ atau tumpuan pada musim perayaan dan musim ramai pelancong saja,” katanya.

Dalam hal lain, beliau berkata, kerajaan negeri mengambil berat situasi cuaca semasa di negeri ini berikutan ramalan cuaca panas disebabkan fenomena El-Nino seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri dengan tumpuan mengenai kesiapsagaan bomba bagi berdepan risiko cuaca panas, selain Jabatan Meterologi untuk memaklumkan laporan cuaca dari semasa ke semasa.

Mengenai bantuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Banggi, beliau berkata, agensi berkaitan sudah diarah menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:00 PM