DUA bot berkuasa tinggi PDRM mengawasi sekitar perairan ESSZONE. FOTO Arkib NSTP
DUA bot berkuasa tinggi PDRM mengawasi sekitar perairan ESSZONE. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

ISU Perintah Berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dalam kajian semula, bagi menilai keberkesanan pelaksanaan langkah keselamatan yang diambil ketika ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu dibangkitkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) sebelum ini.

“Pada mesyuarat itu terdapat beberapa cadangan tetapi saya tidak boleh mendedahkannya, tetapi kajian sedang bermula sekarang ini untuk melihat keberkesanan perintah berkurung ini,” katanya di Lahad Datu hari ini.

Perintah berkurung dari 6 petang sehingga 6 pagi dan kini memasuki fasa ke 122 pada tahun ini meliputi Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau.

Perintah berkurung pertama kali dikuatkuasakan pada 16 Julai 2014 bagi mengekang jenayah penculikan dan pencerobohan.

“Kita tengah buat kajian, mungkin kita akan buat (kawalan keselamatan) lebih drastik atau kita kurangkan, kita kena fikir juga pantai timur Sabah ini tempat pusat pelancongan, kita kena tengok pandangan masyarakat dunia lain yang label ESSZONE ini dipanggil kawasan keselamatan 100 peratus, yang sebenarnya tidak,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan Hazani berkata, turut dibangkitkan berkaitan bot pam dan dicadangkan agar pendaftaran bot itu hanya diberikan kepada penduduk Sabah selain mengehadkan kuasa enjin bot kepada satu kuasa kuda saja.

“Sekarang ini, pakai bot pam tapi sampai dua hingga tiga enjin, bukan pam bot dari Malaysia, rakyat Sabah itu sesuai satu kuasa kuda bagi kegunaan perhubungan rumah ke rumah serta perjalanan tidak lebih tiga kilometer dari daratan,” katanya.

Setakat ini, menurutnya terdapat lebih 1,000 bot pam di ESSZONE sudah berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

“Cuma sekarang ini kita (ESSCOM) mahu buat kod warna mengikut daerah, supaya kalau masuk kawasan lain, pihak berkuasa sudah tahu dari daerah mana,” katanya.

Hazani berkata, bagi bot yang tidak ada kod warna dan kuasa enjin lebih daripada satu kuasa kuda, akan ditenggelamkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:22 PM