PEGAWAI kanan agensi kerajaan dan pekerja swasta di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PEGAWAI kanan agensi kerajaan dan pekerja swasta di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib


PEGAWAI kanan agensi kerajaan dan pekerja swasta yang direman Khamis lalu dibebaskan hari ini berhubung siasatan kes meminta suapan bernilai RM270,000 bagi kelulusan projek.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan kedua-dua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu, pegawai kanan berusia 42 tahun dan pegawai swasta berusia 43 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi peguam dan pegawai SPRM.

Kedua-dua individu itu direman Khamis lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber sebelum ini, pegawai kanan itu ditahan di pusat membeli-belah sekitar Putrajaya, Rabu lalu dipercayai ketika menerima wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah suapan yang sepatutnya diterima.

Dia didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terbabit sebagai ganjaran kerana memberi projek berkenaan.

Projek itu adalah satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia terutama bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 11:21 AM